GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan ayam berikutan pengeluaran sara diri untuk negeri ini sudah melebihi 100 peratus.

Justeru, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan Sarawak kini berusaha membantu penternak untuk terus mengembangkan lagi industri penternakan ayam.

"Usaha itu bagi membolehkan kita mengeksport ayam pula," katanya ketika menjawab soalan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dalam sesi soal jawab itu, Noorazah bertanya mengenai perancangan untuk memperluaskan industri penternakan ayam, lembu dan kambing secara komersil untuk keperluan tempatan.

Bagaimanapun, Dr Abdul Rahman berkata, pengeluaran daging lembu dan kambing tempatan pula masih berada di tahap rendah dengan lembu hanya 12 peratus manakala kambing pula 5.5 peratus.

"Sehubungan itu, kerajaan Sarawak akan memfokuskan kepada pembabitkan sektor swasta dalam pembangunan industri ternakan ruminan iaitu lembu, kambing dan kerbau.

"Untuk tujuan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mengambil inisiatif kerjasama awam swasta (PPP) untuk menswastakan stesen ternakan.

"Sehingga kini, dua stesen ternakan bdiswastakan iaitu Stesen Ternakan Temudok di Sei Aman bagi pengeluaran baka kambing berkualiti.

"Stesen Ternakan Karabungan di Miri pula khusus bagi pengeluaran baka lembu berkualiti," katanya.

Menurutnya lagi, Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak kini merancang untuk menswastakan Stesen TernakanMeragang di Lawas bagi pengeluaran baka kerbau berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 11:48 AM