KAMBING baka dan biri-biri yang dijual.
KAMBING baka dan biri-biri yang dijual.
PENTERNAK menjual ayam baka sabung.
PENTERNAK menjual ayam baka sabung.
PENTERNAK memberi makanan kepada anak kerbau.
PENTERNAK memberi makanan kepada anak kerbau.
PASAR Ternakan Hidup menawarkan pelbagai pilihan.
PASAR Ternakan Hidup menawarkan pelbagai pilihan.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Hampir semua pasar di Malaysia menjual daging yang sudah siap disembelih dan dilapah. Sebut sahaja bahagian mana diingini, penjual akan memotong, menimbang dan memasukkan ke dalam beg plastik.

Bagaimanapun, jangan terkejut jika berkunjung ke Manir, Kuala Terengganu, kerana ‘pasar’ di situ menjual ternakan hidup. Sama ada bebiri, kambing, lembu, kerbau, malah arnab, semuanya dijual hidup-hidup!

Lebih menarik, ada penduduk membawa pulang ternakan yang dibeli dengan menaiki motosikal.

Pasar Ternakan Hidup (PTH) di pekarangan Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir yang beroperasi sejak 12 Ogos lalu itu adalah pertama diwujudkan di negara ini.

Ini diwujudkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu berikutan penternak haiwan ruminan sering menghadapi kesukaran untuk memasarkan ternakan mereka secara hidup kepada pelanggan kerana ketiadaan tempat khas disediakan untuk tujuan berkenaan.

Kewujudan pasar berkenaan sekali gus membolehkan penternak menjual secara terus kepada pelanggan tanpa melalui orang tengah.

Hasilnya, harga ditawarkan lebih rendah berbanding pasaran, seterusnya membantu orang ramai membeli ternakan diminati.

PTH yang dijayakan bersama Persatuan Penternak Kambing Terengganu dan Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu itu mendapat sambutan mengalakkan menyebabkan JPV negeri berhasrat mengembangkannya ke Kerteh dan Besut.

Pasar berkenaan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang turut menjual produk berasaskan ternakan seperti susu kambing segar, aiskrim susu kambing, kambing bakar dan ayam goreng.

PTH menarik kedatangan pengunjung kerana ternakan yang dijual meliputi semua jenis baka haiwan ruminan yang diminati seperti baka kambing Farel, Boer, Jamnapari dan tenusu selain pelbagai baka lembu seperti Limousin, Charolais dan Blonde d’Aquitane.

Peserta, Mohd Fairuddin Makhtar, 24, dari Seberang Takir berkata, PTH secara tidak langsung memberi peluang kepada penternak menjual ternakan mereka kepada orang awam secara terus tanpa perantaraan orang tengah yang biasanya menyebabkan harga menjadi makin tinggi.

“Kami bersyukur kerana hasrat melihat kewujudan PTH akhirnya tertunai apabila JPV merealisasikan kewujudannya.

“Semestinya PTH memberi peluang kepada kami memasarkan ternakan kerana sebelum ini penternak tidak mempunyai saluran untuk berbuat demikian,” katanya.

Mohd Fairuddin yang mengambil alih penternakan lembu daripada ayahnya, Mukhtar Daud, 50, yakin perusahaan itu akan memberi keuntungan serta memiliki potensi untuk dikembangkan.

“Sebelum ini, saya sukar memasarkan lembu diternak kerana ia baka Charolais, bukan baka biasa yang senang dijual kerana mempunyai permintaan harian.

“Kewujudan PTH memberi kemudahan kepada saya memperagakan ternakan, malah memberi peluang kepada orang awam melakukan urusan tawar menawar secara terus. Jika masing-masing bersetuju, urusan jual beli akan dilakukan,” katanya.

Penternak ayam dari Kampung Batu Burok, Mohd Hafiz Taib, 40, berkata, sebelum ini dia hanya menjual ternakannya termasuk ayam selasih dan ayam mutiara kepada penduduk setempat.

“Saya tiada kedai, tapi menjual ayam yang diternak di rumah sahaja. Orang ramai yang berminat akan datang ke rumah dan pasarannya terhad.

“Selepas JPV menawarkan tempat berniaga di PTH, saya makin bersemangat untuk meneruskan perusahaan itu kerana ternakan dapat dipasarkan dengan lebih meluas,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berkira sangat soal harga dan ia boleh dirunding.

“Saya menjual sepasang ayam mutiara dan selasih dengan harga RM10 hingga RM80 bergantung kepada saiz dan usia,” katanya.

Pengunjung, Mat Zaid Abdul Rahman, 49, teruja apabila PTH dianjurkan kerana ia secara tidak langsung membantu pembeli mendapatkan ternakan itu dengan harga lebih murah.

“Kami ada banyak pilihan dan ia membantu penternak yang ingin berjinak-jinak dengan perusahaan ini mendapatkan baka terbaik.

“Jika harga ditawarkan seorang penternak di PTH kurang memuaskan, kami boleh berunding dengan penternak lain yang turut menjual ternakan sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPV negeri Dr Mohd Termizi Ghazali berpuas hati dengan kerjasama 20 penternak di negeri ini kepada PTH.

“JPV hanya bertindak sebagai pemudah cara dengan menyediakan tempat, logistik dan prosedur. Selebihnya dijayakan peserta atau peniaga di PTH sendiri.

“Hasrat kami untuk memberi kemudahan dan peluang kepada penternak memasarkan ternakan mereka tanpa menggunakan orang ketiga,” katanya.

Menurutnya, PTH mengikuti semua peraturan standard ditetapkan termasuk menyediakan seorang pegawai veterinar bagi memastikan semua ternakan yang dijual bebas penyakit.

“Kesihatan haiwan yang dijual juga lebih terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 5:44 AM