FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan makanan haiwan ternakan dengan melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan pengeluaran tempatan.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, antara langkah itu kerajaan Sarawak sedang mengkaji kebolehlaksanaan penanaman jagung bijian untuk keperluan makanan ternakan.

"Selain itu, kerajaan Sarawak juga menjalankan kajian terhadap sumber lain seperti palm kernel cake (PKC) dan produk rumbia.

"Ia bagi menampung keperluan makanan haiwan ternakan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, semalam.

Dr Abdul Rahman berkata, dalam usaha menangani beban untuk mendapatkan bekalan makanan khususnya ternakan ayam, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM528 juta sebagai subsidi kepada penternak ayam daging dan ayam telur seluruh negara.

"Subsidi itu bertujuan untuk mengurangkan kos makanan ayam yang tinggi.

"Lebih 200 penternak ayam komersil di seluruh Sarawak mendapat manfaat

daripada subsidi Kerajaan Persekutuan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 1:47 PM