Roselan Ab Malek


Gambar Roselan Ab Malek

Jerantut: Ketika peniaga ayam lain bergelut dengan krisis bekalan ayam, lain pula ceritanya buat Asma Moin, di Felda Jengka 8, di sini, apabila permintaan ayam kampung ternakannya meningkat sekali ganda.

Asma, 40, berkata, berikutan masalah bekalan ayam di pasar sekitar daerah ini sejak kelmarin, dia tidak menang tangan mengendalikan permintaan tinggi ayam kampung ternakannya itu.

"Biasanya saya menjual sekitar 100 ayam kampung sehari, kini meningkat sehingga 200 ekor sehari berikutan ketiadaan ayam di Pasar Besar Jerantut.

"Sekarang, suami saya (Shahroshaleh Razali, 42) terpaksa membantu saya memproses ayam sebelum menghantarnya kepada pelanggan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dia berkata, meskipun harga ayam kampung mahal berbanding ayam segar, ia mendapat permintaan tinggi terutama membabitkan peniaga kedai makan dan mereka terdesak mahu mengadakan kenduri.

"Permintaan yang tinggi ini tidak menimbulkan masalah bagi saya kerana mempunyai kira-kira lima reban ayam dengan stok sebanyak 5000 ayam kampung," kata ibu kepada dua orang anak ini.

Asma menceburi bidang ternakan ayam kampung ini sejak dua tahun lalu dan mengendalikan ternakan dengan bantuan suami.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 1:44 PM
Penternak ayam kampung organik di Felda Jengka 8, Asma Moin, 40 tidak memang tangan berikutan permintaan ayam miliknya meningkat seratus peratus sejak berlaku krisis ayam. FOTO ROSELAN AB MALEK
Penternak ayam kampung organik di Felda Jengka 8, Asma Moin, 40 tidak memang tangan berikutan permintaan ayam miliknya meningkat seratus peratus sejak berlaku krisis ayam. FOTO ROSELAN AB MALEK