Pengurusan kanan AEON Big dan FGV pada pelancaran Ayam Kampung Ladang’57. - FOTO NSTP
Pengurusan kanan AEON Big dan FGV pada pelancaran Ayam Kampung Ladang’57. - FOTO NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: FGV Holdings Bhd (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) terus menjalin kerjasama dengan AEON Big (M) Sdn Bhd (AEON Big) untuk memasarkan ayam kampung ternakan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di pasar raya berkenaan.

Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya berkata, inisiatif itu dijayakan dengan penyertaan peneroka tempatan iaitu peserta Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah Felda dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di bawah pengurusan pertanian kontrak.

Menurutnya, ayam kampung di bawah jenama Ladang'57 itu akan dipasarkan di 21 cawangan pasar raya AEON Big seluruh negara bagi membantu meningkatkan pendapatan peneroka Felda.

"Menerusi inisiatif itu, peneroka tidak hanya bergantung dengan hasil tanaman kelapa sawit saja.

"Sebaliknya mereka ada sumber pendapatan lain dan AEON Big menjadi rakan strategik kita untuk membeli serta pasarkan ayam kampung berkenaan.

"Buat masa ini, 1,000 ayam kampung dipasarkan dalam seminggu dan akan membekalkan lebih banyak pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Ayam Kampung Ladang'57 di AEON Big Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Raja Faridah Raja Ahmad; Pengerusi, AEON Co, Datuk Iskandar Sarudin; Pengarah, Jabatan Pembangunan Pertanian Dan Ternakan Felda, Hasrin Ismail dan Ketua Peneroka Kebangsaan Felda merangkap Ketua Peneroka Wilayah Trolak, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Menurutnya, ayam kampung yang dipasarkan itu diternak menggunakan formulasi baharu makanan ternakan ayam kampung yang diperbuat daripada produk sampingan daripada kilang pemprosesan padi dan beras.

"Justeru, ayam dihasilkan dijamin halal, segar dan lebih sihat malah kita komited dalam memenuhi permintaan pasaran.

"Pulangan untuk peneroka pula bergantung kepada berapa ekor ayam dibekalkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, AEON Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, pihaknya terus menjalin kerjasama dengan FGV kerana permintaan terhadap ayam kampung masih ada.

Katanya, pihaknya juga melihat ia sebagai peluang untuk membolehkan pelanggan mencari alternatif daripada ayam biasa di pasaran.

"Secara tidak langsung, kita beri peluang kepada produk baharu iaitu ayam kampung sebagai penambahan produk yang ditawarkan.

"Sebelum ini, kita bantu pasarkan jagung, nanas dan pisang.

"Tiada sasaran jualan kerana masih baru dan buat masa ini, kita letak di 21 cawangan AEON Big seluruh negara," katanya.

end

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 2:23 PM