Asma ( kiri) dan Amisya menunjukkan slip keputusan dan sijil kecemerlangan yang diperolehi kepada Pengetua SMK Tunku Putra. FOTO Hamzah Osman
Asma ( kiri) dan Amisya menunjukkan slip keputusan dan sijil kecemerlangan yang diperolehi kepada Pengetua SMK Tunku Putra. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


DUA sahabat karib Asma Nasir dan Amisya Ismail membuktikan ekonomi keluarga tidak seberapa bukan penghalang memperoleh 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.

Asma, 20, anak nelayan dan Amisya, 21, anak peniaga pasar malam adalah dua calon cemerlang daripada 114 calon STPM daerah Langkawi tahun lalu.

Kedua-duanya adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Langkawi yang juga antara 54 calon cemerlang peperiksaan sama bagi seluruh Kedah yang diraikan di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin (KTESS) hari ini.

Asma anak kedua daripada enam beradik berkata, dia berazam membaiki nasib keluarga selepas melihat susah payah bapanya yang terpaksa keluar awal pagi membanting tulang mencari rezeki di laut.

“Kejayaan dalam STPM ini bukan datang dengan mudah kerana dalam peperiksaan semester dua pertengahan tahun lalu, saya hanya mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.17.

“Berbekalkan azam yang kuat, dan kata-kata semangat ibu serta guru, saya cuba bangkit dan buat yang terbaik dalam ujian semester tiga sehingga memperoleh kejayaan ini,” katanya ketika ditemui di KTESS.

Asma yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) memperoleh PNGK 4.0 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pengajian Am, Sejarah dan Kesusasteraan Melayu Komunikatif.

Sementara itu, Amisya berkata, kesusahan bapanya mencari rezeki sebagai peniaga pasar malam mendorongnya belajar bersungguh-sungguh bagi mengejar keputusan cemerlang dengan memperoleh PNGK 4.0.

“Rezeki peniaga pasar malam tidak menentu malah sayu apabila melihat ayah dan ibu pulang dengan pakaian basah kuyup ketika berniaga pada musim hujan.

“Bahagikan masa dengan bijak dan tidak terlalu tertekan mengulang kaji pelajaran adalah resipi kejayaan saya,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pendidikan.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu memperoleh PNGK 4.0 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pengajian Am, Sejarah dan Ekonomi.

Mereka menerima sijil kecemerlangan disampaikan Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Aziz Selaiman.

Turut hadir Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Kedah, Turin Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 2:30 PM