PANDANGAN atas kawasan Lenggeng. FOTO GOOGLE MAPS
PANDANGAN atas kawasan Lenggeng. FOTO GOOGLE MAPS
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mengesahkan sudah membuka satu kertas siasatan berhubung isu salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan konsesi balak Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Pengarahnya, Mohamad Zakkuan Talib berkata, kertas siasatan itu dibuka ekoran aduan diterima pihaknya berhubung perkara berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, konsesi balak yang diberikan kepada YNS bermula sejak 2014 dengan kuota 2,500 hektar setiap tahun diberikan kepada yayasan berkenaan.

"SPRM Negeri Sembilan bukan sahaja menyiasat isu konsesi balak di kawasan Lenggeng malah menyiasat keseluruhan kawasan konsesi balak membabitkan YNS sejak 2014.

"Siasatan sedang berjalan dan SPRM Negeri Sembilan menggesa setiap pihak untuk menghentikan spekulasi dan menyebarkan berita palsu berhubung perkara ini," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Dalam laporan media baru-baru ini, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung isu tender projek pembalakan di Lenggeng yang didakwa tidak mengikut prosedur kepada SPRM.

Aminuddin berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada SPRM.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussain mendesak projek pengeluaran kayu balak seluas kira-kira 500 hektar di Lenggeng dihentikan kerana didakwa memberi kesan buruk kepada eko sistem tadahan air dan jalan di kawasan berkenaan.

Zool Amali mendakwa, projek berkenaan juga berada berhampiran dengan Hutan Lipur Lenggeng yang juga lokasi latihan tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 3:50 PM