ANGGOTA bomba membawa naik mangsa yang terjatuh ke dalam longkang di Pandan Perdana, Ampang, malam tadi. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba membawa naik mangsa yang terjatuh ke dalam longkang di Pandan Perdana, Ampang, malam tadi. FOTO Ihsan JBPM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran sebuah kedai serbaneka di Pandan Perdana, di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.37 malam tadi.

"Seramai enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an terjatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Morni berkata, difahamkan kereta dipandu lelaki berkenaan yang dipercayai mabuk terbabit dalam kemalangan di lokasi itu.

"Mangsa dikatakan bertindak keluar dari kenderaan berkenaan lalu terjatuh ke dalam longkang.

"Pihak bomba mengambil masa kira-kira tiga minit bagi membawa naik mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 11:07 AM