LELAKI Orang Asli ditemukan maut di dalam longkang dipercayai terjatuh ketika memanjat pokok kelapa di Jalan Benus, Bentong, FOTO Ihsan PDRM
LELAKI Orang Asli ditemukan maut di dalam longkang dipercayai terjatuh ketika memanjat pokok kelapa di Jalan Benus, Bentong, FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Bentong: Seorang lelaki Orang Asli ditemukan mati di dalam longkang selepas dipercayai terjatuh ketika memanjat pokok kelapa di Jalan Benus di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki di lokasi kejadian 8.55 pagi hari ini.

"Siasatan awal mendapati mangsa adalah Orang Asli bernama Jeka Gedeng berusia 36 tahun dipercayai jatuh dari tempat tinggi.

"Mangsa dipercayai memanjat pokok kelapa bersebelahan dengan longkang sebelum terjatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bedah siasat mendapati mangsa maut diakibatkan oleh intra-abdominal hemorrhage atau pendarahan di dalam perut akibat hati pecah, dipercayai kesan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 12:22 AM