Mangsa yang patah kaki diselamatkan anggota bomba. FOTO Ihsan Bomba
Mangsa yang patah kaki diselamatkan anggota bomba. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Lelaki patah kaki kiri selepas terjatuh ke dalam longkang di belakang sebuah rumah di Taman Perwira, Ampang Jaya di sini, hari ini.

Mangsa berusia 39 tahun itu dipercayai melalui laluan belakang rumah itu sebelum terjatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.53 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat mangsa.

"Sebaik tiba di lokasi didapati mangsa berada dalam longkang besar sedalam dua meter.

"Pemeriksaan mendapati mangsa patah kaki kiri. Anggota merawat dan membawa naik mangsa menggunakan pengusung," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu diserahkan kepada pegawai perubatan dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 4:01 PM