MANGSA dibawa keluar dari hutan. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA dibawa keluar dari hutan. FOTO Ihsan Bomba
Abnor Hamizam Abd Manap

LELAKI Orang Asli cedera parah selepas terjatuh ketika memanjat pokok petai di kawasan Hutan Simpan Petaseh di Jelebu, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Ahmad Firdaus Abdullah, 39 dari Kampung Batu 17, Simpang Pertang.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, sebelum itu, mangsa ke hutan berkenaan bersama dua rakan bagi mencari petai, pada 11 pagi.

Beliau berkata, mangsa kemudian dipercayai tergelincir ketika memanjat pokok petai dan terjatuh dari ketinggian 30 meter ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter.

“Rakan mangsa kemudian keluar dari hutan untuk meminta bantuan dan menghubungi Balai Bomba Simpang Pertang,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Penguasa Bomba Kanan II Zamrus Mohd Rais, berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.43 tengah hari.

Katanya, seramai enam anggota bergegas ke lokasi untuk memulakan operasi menyelamat dengan dibantu anggota polis dan kakitangan Klinik Kesihatan Pertang.

“Jarak jalan besar ke lokasi kira-kira lima kilometer dan pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 90 minit bagi mengeluarkan mangsa berikutan laluan berbukit, sempit dan licin.

“Mangsa yang mengalami kecederaan patah tulang rusuk di hantar ke Hospital Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 6:42 PM