Rosli Ilham


Dungun: "Remuk hati saya melihat jasad ayah dan kakak terbujur kaku di tempat kejadian.

"Patutlah hati saya berasa tidak sedap, kerja saya serba tak menjadi, rupa-rupanya itu petanda akan kehilangan mereka berdua," kata Masri Mohamed, 22, selepas bapa dan kakaknya maut dalam kemalangan di Kilometer 61, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Felda Jerangau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.09 pagi itu, Mohamed Jenal, 61, bersama anaknya, Mardiah Mohamed, 26, maut dalam kemalangan selepas dipercayai cuba mengelak seekor ular sawa yang melintas jalan di situ.

Kemalangan itu menyebabkan kereta Proton Gen 2 dinaiki mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.

Ular sawa terbabit bagaimanapun mati selepas digilis beberapa lagi kenderaan lain sebelum bangkainya dibuang penduduk di semak berhampiran.

Masri berkata, ketika kejadian, bapanya dalam perjalanan dari rumah di Felda Jerangau Barat untuk menghantar kakaknya itu yang bekerja sebagai tukang jahit di bandar Dungun.

"Sebelum ke tempat kerja, saya sempat berbual dengan mereka berdua, kakak tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik tapi ayah sangat banyak.

"Sejak kebelakangan ini dia minta ibu masak macam-macam makanan dan lauk-pauk namun dia hanya sentuh sedikit dan mendakwa tiada selera," katanya yang bertugas sebagai operator kilang sawit Felda Jerangau Barat.

Menurut Masri, bapanya juga sudah seminggu tidak keluar rumah dan sering duduk di rumah menemani ibu.

"Biasanya setiap hari dia akan bersama rakan seusianya bersembang di kedai kopi.

"Akibat tiada selera makan badan ayah semakin jatuh (kurus) saya selalu pesan minta dia makan namun dia mendakwa tiada selera," katanya.

Katanya, dia juga pelik kenapa bapanya itu memandu kereta milik abangnya yang bekerja di Johor sedangkan dia sentiasa memandu Proton Wira kesayangannya.

Sementara itu, majikan Mardiah, Tengku Noriha Tengku Abdul Jalil, 49, berkata, Mardiah adalah tukang jahit penting di kedainya dan sudah enam tahun bekerja di situ.

Katanya, arwah menyewa rumah di bandar Dungun dan biasanya akan pulang ke kampung setiap khamis.

"Semalam dia beritahu nak balik jumpa keluarga di kampung dan pagi ini saya beberapa kali menghubunginya, namun tidak dijawab sehinggalah ahli keluarganya memaklumkan dia kemalangan.

"Dia pekerja yang baik dan saya percaya kerana arwah seorang yang amanah dan kini saya hilang seorang pekerja harapan dan sukar mencari pekerja lain sepertinya," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut yang cedera ringan menerima rawatan di klinik yang berhampiran.

Berita berkaitan

  • Tragedi elak ular sawa melintas
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 5:13 PM