LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Lelaki yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Jertih arah Bandar Jertih menghala ke Seberang Jertih, Besut di sini, semalam disahkan selamat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, isteri dan anak mangsa hadir ke balai Polis Jertih pada 9.30 pagi hari ini memaklumkan individu yang terjun dari Jambatan Seberang Jertih adalah suaminya.

"Dia memaklumkan ternampak hantaran di laman Facebook mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan ciri-ciri mangsa menepati pakaian yang dipakai suaminya pada masa dan tarikh berkenaan.

"Isterinya memaklumkan suaminya pulang ke rumah dan memberitahu badan sakit kerana terjun dari Sungai Jertih, sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azrol berkata, Ketua Polis Balai Jertih bersama anggota ke rumah mangsa di Kampung Padang Luas untuk siasatan lanjut pada 10.30 pagi.

"Hasil temubual dengan lelaki itu mendapati dia memaklumkan, hawa panas memasuki tubuhnya melalui tangan dan naik ke kepala setiap hari, malah badannya semakin panas apabila menjelang tengah hari.

"Dia mengambil keputusan untuk terjun dari jambatan itu kerana tidak tahan dengan kepanasan yang dialami," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan itu mengesahkan lelaki itu adalah individu yang terjun sungai dari Jambatan Jertih berdasarkan kepada pengecaman pakaian sama seperti keterangan saksi iaitu kain pelikat dan t-shirt berwarna gelap.

"Sehubungan itu, SAR yang bermula petang semalam ditamatkan pada 12 tengah hari," katanya.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Jertih, Besut.

Saksi kejadian, Rosmaini Harun, 43, dilapor berkata, dia menyaksikan kejadian itu ketika dalam perjalanan dari Kampung Padang Luas ke Kampung Gong Guchil untuk menghadiri majlis kenduri kahwin kira-kira 1.30 tengah hari.

Berita berkaitan:

  • Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh Jambatan Jertih [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 4:38 PM