Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Jertih, Besut di sini, hari ini.

Saksi kejadian, Rosmaini Harun, 43, berkata, dia menyaksikan kejadian itu ketika kejadian dalam perjalanan dari Kampung Padang Luas ke Kampung Gong Guchil untuk menghadiri majlis kenduri kahwin kira-kira 1.30 tengah hari.

"Ketika dalam kenderaan di atas jambatan itu, trafik bergerak perlahan dan sesak. Saya sempat melihat seorang lelaki di tepi jambatan.

"Dia berpakaian baju berwarna kelabu dan memakai kain sarung warna gelap. Saya sekali lagi cuba melihat kelibat mangsa melalui cermin sisi kenderaan, namun dia sudah tiada dan saya syak dia terjun dari jambatan," katanya ketika ditemui di lokasi mencari mangsa di Seberang Jertih, di sini, hari ini.

Katanya, bimbang dengan keadaan itu dia segera bertindak menghubungi polis untuk meminta bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada 3.30 petang dan sepasukan anggota serta pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.

"Pasukan penyelamat melakukan pencarian dengan radius kira-kira 20 meter di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada 7 malam dan akan disambung 8 pagi esok.

"Operasi itu turut membabitkan seramai 35 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya.

Bagaimanapun identiti sebenar mangsa masih lagi belum dapat disahkan dan pencarian masih berjalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor mengesahkan kejadian itu dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 8:57 PM
OPERASI SAR mencari lelaki dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari Jambatan Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
OPERASI SAR mencari lelaki dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari Jambatan Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini