Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Sepanjang Ramadan ini, Ramli Ngah, 54, bekerja umpama 'pelari pecut' kerana dia perlu bergerak secepat mungkin untuk menyiapkan 'Murtabak Ramli'.

Ini kerana, apabila tiba waktu puncak, pelanggan akan beratur daripada dua arah untuk membeli murtabak berkenaan.

"Setiap hari, saya memerlukan lebih 600 biji telur ayam, 60 kilogram (kg) bawang, 40kg ubi kentang dan masing-masing lima hingga enam kilogram daging lembu serta ayam untuk menyediakan lebih 500 biji murtabak," katanya yang berniaga di Bazar Ramadan Pasar Chabang Tiga di sini.

Menurutnya, setiap empat hari juga, dia perlu menyimpan stok telur ayam antara 4,000 hingga 5,000 biji selain 50 guni bawang dan ubi kentang seberat 10kg setiap guni.

"Sememangnya letih namun saya perlu memenuhi permintaan pelanggan yang setia beratur untuk mendapatkan juadah ini.

"Setiap kali berniaga di bazar Ramadan, beginilah situasinya namun bagi mengelak pelanggan beratur dengan lebih lama, saya menyediakan dua dapur dan dua tempat untuk menebar doh roti canai untuk diletakkan inti," katanya yang berpengalaman 30 tahun dalam menyediakan murtabak.

Menurutnya, dia turut dibantu isterinya, Rohana Mohd, 50, dua anak berusia 23 dan 32 serta menantunya yang berumur 34 tahun.

Katanya, cabaran utamanya ialah masa kerana dalam tempoh dua hingga tiga jam, dia perlu menyediakan lebih 500 biji murtabak.

Ramli berkata, pada hari biasa berniaga di pasar malam, dia hanya menggunakan satu dapur dengan purata jualan 300 biji sahaja dan jualan pula boleh dilanjutkan sehingga ke jam 8 atau jam 9 malam.

"Inti murtabak pula adalah resepi tersendiri yang dihasilkan sejak 30 tahun lalu dengan memasukkan rempah ratus, ubi kentang, ayam, daging, bawang dan telur.

"Alhamdulillah, Ramadan merupakan pintu rezeki buat saya sekeluarga kerana permintaan meningkat sekali ganda," katanya yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Manir di sini.

Pelanggan, Rohana Abdul Razak, 34, berkata, dia menggemari Murtabak Ramli kerana rasanya yang enak.

"Rempah yang digunakan untuk menyediakan inti murtabak tidak pahit dan terlalu kuat rasanya manakala doh yang digunakan juga lembut walaupun murtabak itu garing.

"Saya memang pelanggan tetapnya dan tidak hairan kenapa ramai pelanggan sanggup beratur untuk mendapatkan Murtabak Ramli," katanya.

Bagi Muazam Zamil Ibrahim, 29, dia tahu keenakan murtabak berkenaan kerana ia boleh diperoleh setiap kali ke pasar malam di sekitar daerah ini.

"Mungkin resepi yang digunakan menjadikan hasil jualan Murtabak Ramli begitu laris, terutama pada Ramadan," katanya.

Ramli Ngah menjual murtabak di bazar Ramadan, Pasar Chabang Tiga. FOTO GHAZALI KORI
Ramli Ngah menjual murtabak di bazar Ramadan, Pasar Chabang Tiga. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 12:26 PM