ORANG ramai beratur untuk membeli murtabak Rose yang dijual dengan harga RM5 di Bazar Ramadan  Stadium, Darul Aman, Alor Setar.  FOTO Luqman Hakim Zubir
ORANG ramai beratur untuk membeli murtabak Rose yang dijual dengan harga RM5 di Bazar Ramadan Stadium, Darul Aman, Alor Setar. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Murtabak Rose sentiasa menjadi pilihan pengunjung apabila datang ke Bazar Ramadan Stadium Darul Aman di sini hingga terpaksa beratur panjang untuk membelinya.

Walaupun harganya mencecah RM5 sekeping namun pelanggan sanggup datang awal untuk membelinya kerana bimbang cepat habis.

Peniaga, Abdul Hazani Ismail, 44, berkata, murtabak Rose memang terkenal di negeri ini sejak 52 tahun lalu dan amat sinonim dengan penduduk Kedah.

Menurutnya, murtabak berkenaan dipelopori pada 1970 dan sejak itu orang ramai boleh menikmatinya di Restoran Rose, Jalan Tunku Ibrahim di sini.

Bagaimanapun, katanya, sejak restoran berkenaan ditutup pada 2010, orang ramai hanya boleh membelinya ketika Ramadan sahaja atau secara sejuk beku (frozen).

"Rasa murtabak dengan hirisan ayam dan daging yang banyak serta dicampur rempah ratus dan ramuan tradisi turun-temurun menyebabkan orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli.

"Setiap hari kami menjual 500 hingga 600 murtabak, tetapi habis dalam tempoh tak sampai dua jam...Alhamdulillah," katanya.

Abdul Hazani berkata, mungkin disebabkan murtabak Rose cukup terkenal sejak sekian lama di negeri ini menjadi tarikan orang ramai untuk menikmatinya ketika Ramadan ini.

MURTABAK dengan hirisan ayam dan daging yang banyak, dicampur rempah ratus dan ramuan tradisi turun-temurun. FOTO Luqman Hakim Zubir
MURTABAK dengan hirisan ayam dan daging yang banyak, dicampur rempah ratus dan ramuan tradisi turun-temurun. FOTO Luqman Hakim Zubir

Katanya, selain di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, orang ramai juga boleh membeli murtabak Rose di Bazar Ramadan Taman PKNK setiap hari bermula jam 4 petang hingga selesai.

Sementara itu, pelanggan, Mohd Qurbani Abd Aziz, 42, berkata, setiap hari selepas pulang dari kerja, dia tidak akan melepaskan peluang membeli murtabak Rose untuk keluarganya sebagai juadah berbuka puasa.

Katanya, murtabak ini memang legend sejak berpuluh tahun lamanya dan terkenal di negeri ini.

"Rasanya sedap dan lain dari yang lain berbanding murtabak lain serta anak-anak saya pun suka," katanya yang menetap di Gunung Keriang.

Katanya, rasa murtabak itu masih kekal seperti dahulu ketika waktu kecilnya dan menggunakan ramuan yang sama seperti pernah dirasainya.

Pelanggan lain, Ibrahim Din, 62, berkata, dia pernah merasai murtabak Rose sewaktu Restoran Rose masih dibuka, tetapi kini sukar untuk mendapatkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 7:30 AM