GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Cari makan duit haram dengan menjual ribuan jenis produk import, gajet, makanan dan keperluan harian tidak wujud di laman jual beli barangan dalam talian (e-dagang).

Ternyata tabiat berbelanja melalui e-dagang sejak Covid-19 melanda melahirkan ramai 'toyol siber' atau scammer yang mengambil peluang menipu puluhan ribu mangsa di seluruh negara.

Berdasarkan maklumat terkini didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 5,848 kes penipuan e-dagang dilaporkan sepanjang tahun lalu di seluruh negara membabitkan kerugian kepada mangsa lebih RM41 juta.

Jumlah kes jenayah ini meningkat hampir 80 peratus berbanding 3,511 kes direkodkan sepanjang tahun 2019 dengan kerugian sebanyak RM28 juta.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, jumlah tangkapan membabitkan penjenayah e-dagang turut meningkat mendadak tahun lalu membabitkan 2,250 individu berbanding 1,397 tangkapan sepanjang 2019.

Beliau berkata, kes penipuan e-dagang dikesan meningkat mendadak terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan rakyat terhad dalam pergerakan dan beralih untuk membuat pembelian atau jualan secara dalam talian.

"Walaupun dalam kebanyakan kes penipuan e-dagang tidak membabitkan kerugian dalam jumlah besar, ramai mangsa mudah terperdaya hanya dengan gambar produk dan testimoni kebaikan produk dijual.

"Sebagai contoh pada tahun lalu, penipuan jual beli pelitup muka secara jual dalam talian merekodkan jumlah kes tertinggi membabitkan 838 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM10.9 juta.

"Bagi kes penipuan pembelian pelitup muka itu, kerugian tertinggi dicatatkan bagi satu kes adalah RM550,000. Kes itu dilaporkan di Sri Petaling, Kuala Lumpur dan suspek utama kes ini berjaya ditahan serta dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini.

ZAINUDDIN. FOTO Arkib NSTP
ZAINUDDIN. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, mangsa biasanya 'gelap mata' dengan harga murah produk ditawarkan melalui iklan di media sosial, sekali gus menyebabkan mereka dijerat.

"Ini antara punca utama mendorong mereka menjadi mangsa penipuan e-dagang. Yang pasti urusan perniagaan kini tidak hanya terhad dalam bentuk fizikal (perjumpaan), malah kian berkembang menerusi urusan dalam talian.

"Ini kerana urusan melalui dalam talian adalah lebih mudah kerana boleh diakses tanpa mengira masa dan tempat. Namun, ada pihak tidak bertanggungjawab menjadikan platform berkenaan untuk menipu.

"Dalam kes penipuan e-dagang ini...bukan hanya pembeli ditipu, malah penjual turut menjadi mangsa penipuan. Bagi situasi pembeli, kebanyakan mereka terperdaya selepas melakukan pemindahan wang bagi barangan dibeli.

"Bagi penjual pula, mereka ditipu apabila membayar deposit atau caj diminta sindiket penipuan atas pelbagai alasan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan nombor akaun bank penerima di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran bagi mengelak ditipu.

"Jangan sesekali percaya dengan harga murah tidak masuk akal ditawarkan sesetengah peniaga. Selain itu, jangan ambil jalan mudah dengan 'PM' tepi (mesej terus) kepada peniaga di dalam platform e-dagang.

"Saya percaya ramai individu luar sana yang menjadi mangsa penipuan e-dagang, namun tidak tampil membuat laporan polis...jumlahnya mungkin lebih ramai dari disangka. Mereka diminta supaya tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan diambil pihak berkuasa.

"Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi CCID Scam Response Center JSJK di talian 03-26101559 untuk sebarang pertanyaan berkaitan jenayah komersial termasuk penipuan e-dagang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 5:10 PM