NOH (tiga, kiri) pada Program “Back to school 2022” di Angsana Mall Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NOH (tiga, kiri) pada Program “Back to school 2022” di Angsana Mall Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM200 juta, bagi membantu usahawan seluruh negara yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 dan banjir.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata ini menjadikan peruntukan bantuan yang diberikan kepada usahawan terjejas meningkat kepada RM400 juta menerusi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM).

Katanya, peruntukan RM200 juta yang diluluskan pada Disember tahun lalu telah habis diagihkan kepada penerima bantuan.

"Ketika ini saya terima banyak aduan lambat dapat bantuan, tetapi sebenarnya RM200 juta yang diperuntukkan dahulu itu sudah habis.

"Bagi bantuan untuk usahawan terbabit banjir, Perdana Menteri bersetuju menambah RM150 juta bagi usahawan mikro dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan RM50 juta menerusi SPIM menjadikan peruntukan tambahan RM200 juta.

"Kementerian mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan tambahan bagi membantu usahawan terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Back To School di Angsana Mall di sini, hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir, membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi lebih 15,000 peniaga.

Ismail Sabri dilaporkan berkata,penyediaan dana tambahan RM50 juta melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional, khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu, Noh berkata bantuan yang diumumkan Perdana Menteri itu membabitkan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan tempoh bayar balik sehingga lima tahun berserta moratorium 12 bulan.

"Dana sebanyak RM100 juta itu disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terjejas, pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah dengan tempoh bayar balik sehingga lima tahun berserta moratorium 12 bulan," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, sehingga kini, kira-kira 13,600 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dikenal pasti terjejas akibat banjir Disember tahun lepas.

Katanya, kesemua mereka bakal diberi bantuan dalam bentuk geran seperti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet yang dijadual diserahkan pada bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 6:02 PM