YOONG Wei Ming (kiri) mengalami skoliosis atau kelengkungan pada tulang belakang berbentuk S dan memerlukan sumbangan orang ramai bagi pemasangan tiga dimensi (3D) peranti tulang belakang atau Thoracic Lumbar Sacral Orthosis. FOTO Ihsan Corp Comm NSTP
YOONG Wei Ming (kiri) mengalami skoliosis atau kelengkungan pada tulang belakang berbentuk S dan memerlukan sumbangan orang ramai bagi pemasangan tiga dimensi (3D) peranti tulang belakang atau Thoracic Lumbar Sacral Orthosis. FOTO Ihsan Corp Comm NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seorang remaja amat memerlukan pendakap tulang belakang 3D yang baharu bagi membetulkan tulang belakangnya yang bengkok disebabkan alat sedia ada sudah tidak sesuai untuk digunakan.

Yong Wei Ming, 16, memerlukan pendakap tulang belakang untuk membolehkannya menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Katanya, dia sudah memakai pendakap tulang belakang sejak dua tahun lalu, namun keganjilan tulang belakangnya yang berbentuk S mula dikesan ketika berusia 12 tahun.

"Ia ketika jururawat kesihatan datang ke sekolah untuk pemeriksaan fizikal ke atas semua murid dan saya dikesan ada masalah tulang belakang bengkok.

"Saya tidak merasa (sakit) apa-apa, yang menyebabkan tidak sedar sedang mengalami penyakit itu.

"Keluarga kemudian membawa saya jalani pemeriksaan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Yong berharap menerima pendakap tulang belakang 3D yang baharu bagi membolehkan dia menjalani kehidupan seperti biasa dan meneruskan minat bermain badminton.

Sementara itu, ibunya, Ng Siew Theng, 45, berkata, masalah kesihatan dihidapi anaknya menyebabkan Yong tidak dapat melakukan aktiviti berat.

"Saya berharap orang ramai sudi membantu kami bagi membeli pendakap tulang belakang 3D yang baru bernilai RM5,500.

"Alat yang dipakai anak sudah tidak sesuai kerana dia semakin membesar dan doktor memaklumkan dia perlu memakainya sehingga berusia 18 tahun bagi membetulkan kembali tulang bengkok itu," katanya.

Ng bimbang jika penyakit anaknya semakin serius dan memerlukan pembedahan sekiranya tidak memakai alat yang bersesuaian.

"Lagipun saya tidak bekerja dan hanya suami sahaja yang bekerja sebagai tukang masak di Negeri Sembilan.

"Jadi saya berharap ada yang sudi membantu kami membeli pendakap tulang belakang 3D buat anak saya," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 5141-0532-3170 atas nama Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 3:51 PM