Nur Hanan diteman ibunya di Gleneagles Hospital. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Nur Hanan diteman ibunya di Gleneagles Hospital. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seorang ibu merayu orang ramai menghulurkan sumbangan untuk membiayai RM40,000 kos pembedahan anak perempuannya berusia 11 tahun yang menderita penyakit lutut kaki membengkok ke luar (Genu Valgus) dan tulang paha pendek (Femomal Shortening).

Suri rumah Suhayati Soryat, 38, berkata, dia menyedari kaki anaknya Nur Hanan Awatif Muhammad Hadi Khong, 11, bermasalah ketika usia anaknya itu lapan tahun.

Menurutnya, pada waktu itu sekitar akhir penggal persekolahan dalam tahun dua di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tiram, Johor, dia melihat cara jalan anaknya yang lebih mesra dipanggil Hanan itu bukan dalam keadaan normal.

"Saya melihat kaki kanan semasa berjalan senget tetapi saya menganggap itu biasa.

"Lama kelamaan sengetnya semakin ketara sehingga nampak ke luar dari keadaan kaki yang normal.

"Tidur pun kita boleh nampak sebelah kakinya seperti pendek. Pergi ke klinik kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB)," katanya yang menetap di Ulu Tiram, Johor.

Suhayati berkata, berdasarkan rekod perubatan Hanan yang disemak HSIJB dari lahir menunjukkan tiada masalah.

Menurutnya, doktor pada waktu itu mengesyaki Hanan pernah terjatuh yang teruk namun sepanjang pengetahuannya kejadian itu tidak berlaku kepada Hanan termasuk semasa di sekolah.

"Saya merayu kepada orang ramai menghulurkan sumbangan untuk pembedahan Hanan dan saya amat menghargainya.

"Saya tidak bekerja manakala suami (Muhammad Hadi Khong Abdullah, 46,) pula bekerja sebagai pemandu lori," katanya yang turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Misyari Rashid berusia enam tahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (MAYBANK - 5141-0532-3170).

Sementara itu, Pakar Tulang Kanak-Kanak Gleneagles Hospital Kuala Lumpur Dr Abd Razak Muhamad berkata, pembedahan terhadap kaki Hanan adalah membetulkan semula penjajaran dan memasang alat untuk memanjangkan tulang.

"Pembedahan diperlukan untuk membetulkan bengkok adalah potong tulang dan tegakkannya semula.

"Kedua macam mana nak panjangkan tulang ialah satu alat akan dipasangkan dengan skru boleh dipusingkan setiap hari oleh pesakit atau penjaganya.

"Setiap hari satu pusingan skru, tulang akan memanjang 1 milimeter. Selepas 60 hari untuk dapat 60 milimeter. Insya-Allah dapat 6 sentimeter (cm) iaitu perbezaan ketika ini antara kaki kanan dan kaki kiri Hanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 6:54 PM