Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bekas bilal masjid tidak menyangka gejala demam yang kerap dan sakit di bahagian perut adalah petanda dirinya menghidap penyakit kanser usus.

Malah, lantaran mengidap diabetes sejak sekian lama, bapa kepada lima anak itu kini terpaksa menjalani rawatan dialisis sejak minggu lalu berikutan penyakit yang dideritainya sudah menyerang buah pinggang.

Faisal Inwar Badaruddin, 48, berkata mata kirinya disahkan buta sejak beberapa tahun lalu, namun dia reda apabila doktor mengesahkan mata kanannya pula bakal menghadapi masalah sama.

"Kanser usus pula dikesan beberapa bulan lalu selepas mengalami demam denggi dan simptom cirit-birit sebelum menjalani pemeriksaan di hospital.

"Tidak lama kemudian, doktor mengesahkan saya mengidap kanser usus berikutan terdapat ketumbuhan dalam perut dan saya baharu sahaja selesai menjalani rawatan radioterapi.

"Kemoterapi sepatutnya dibuat pada Januari lalu, namun ditangguhkan kerana pemeriksaan doktor mendapati berlaku kegagalan buah pinggang yang memerlukan saya menjalani dialisis," katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Faisal berkata, selepas berpisah dengan isteri kira-kira dua tahun lalu, dia bersama empat daripada lima anak tinggal bersama ibu bapanya yang masing-masing berusia 67 dan 68 tahun.

Menurutnya, kesemua anaknya berusia 11 hingga 21 tahun dengan dua daripada mereka masih bersekolah, dua tidak bekerja dan seorang lagi melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur.

"Sebelum ini saya bekerja di sebuah pejabat lelongan, tetapi kini sudah tidak mempunyai pendapatan kecuali wang bantuan keseluruhan sebanyak RM1,290 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

"Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM1,800 sebulan bagi membeli barangan keperluan seperti susu formula, insulin, tisu basah dan beg stoma," katanya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Terdahulu, Faisal menerima kunjungan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pejabat Pengerusi Media Prima Berhad Azlan Abdul Aziz dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit di rumahnya di Jalan Merican, dekat sini, bagi menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Pemberian sumbangan berkenaan adalah hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Orang ramai yang ingin membantu kes seperti ini boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Lima, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 1401 0008 8427 18 atau Maybank bernombor 5141 0532 3170.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP berkenaan layak mendapat pelepasan cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 4:58 PM
Hussain Jahit menyerahkan sumbangan kepada ibu Faisal Inwar dirumahnya di Georgetown, Pulau Pinang. FOTO SADIQ SANI
Hussain Jahit menyerahkan sumbangan kepada ibu Faisal Inwar dirumahnya di Georgetown, Pulau Pinang. FOTO SADIQ SANI