Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Saya nak juga anak berjalan normal macam orang lain kerana sedih dan tak sampai hati tengok keadaannya begitu," luah Kamariah Amran.

Kamariah, 38, adalah ibu kepada Muhammad Firas Adli Mohd Azlan, 13, yang menderita akibat Congenital Pseudarthrosis of Tibia (CPP) atau masalah tulang bengkok.

Penyakit itu menyebabkan kedua belah kaki Muhammad Firas Adli membengkok hingga terpaksa berjalan menggunakan tongkat dan alat sokongan.

Kamariah yang menetap di Alor Gajah, Melaka berkata, doktor mengesyorkan anaknya menjalani pembedahan bagi memasukkan implan dan membantu meluruskan kaki yang bengkok.

Bagaimanapun, dia mahupun suami, Mohd Azlan Mohd Som, 38, tidak mampu kerana rawatan itu menelan kos sebanyak RM70,000 dan perlu dijalankan di Gleneagles Hospital, di sini.

"Saya dan suami mencari rezeki dengan berniaga di pasar malam dekat Melaka Tengah sejak lebih 10 tahun lalu.

"Kami menjual nasi lemak dan kuih serta berniaga pada Isnin, Selasa, Rabu juga Sabtu.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada tapak pasar malam ditutup dan ada ketika, cuma kami saja berniaga di tapak pasar malam.

"Jadi, anggaran pendapatan bulanan sekitar RM2,000 saja jadi memang tak cukup nak tampung kos pembedahan Firas (nama panggilan) walaupun kami cuba ikhtiar namun yang ada (pendapatan) pun cukup untuk sara hidup saja," katanya ketika ditemubual pada sesi Google Meet , hari ini.

Bercerita lanjut, Kamariah berkata, Muhammad Firas Adli adalah anak bongsu daripada empat beradik dan tidak dikesan menghidap penyakit itu ketika lahir.

"Bagaimanapun, saya mula sedar ada yang tak kena selepas lihat dia berjalan dan jatuh.

"Kemudian, saya dan suami bawa Firas ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan sebelum dapat tahu penyakitnya yang dialami sejak umur setahun lebih hingga sekarang.

"Bagaimanapun, tiada pembedahan pernah dijalankan sebelum ini dan yang akan dijalankan nanti adalah kali pertama," katanya.

 MUHAMMAD Firas yang menderita penyakit masalah tulang bengkok. FOTO Amirudin Sahib.
MUHAMMAD Firas yang menderita penyakit masalah tulang bengkok. FOTO Amirudin Sahib.

Sementara itu, suaminya, Mohd Azlan Mohd Som, 38, berkata, kekurangan yang ada menyebabkan anak bongsunya itu sering diejek rakan di sekolah.

Mohd Azlan berkata, ejekan itu membuatkan Muhammad Firas Adli tersinggung dan sedih hingga hilang keyakinan untuk berjumpa dengan orang lain.

"Anak memang sedih kena ejek dan dia pun malu kerana apabila keluar, orang pandang sampai tak nak ikut apabila diajak ke majlis.

"Orang pun selalu tanya saya kenapa dengan anak dan setiap kali itu, saya akan beri jawapan sama.

"Tapi saya dan isteri cuba pujuk dia untuk bersabar. Sebak juga sebenarnya kerana Firas bercita-cita nak jadi askar dan polis tapi apakan daya, dia tak penuhi syarat kelayakan," katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Ortopedik Gleneagles Hospital, Dr Razak Muhammad berkata, pembedahan akan dijalankan nanti membabitkan prosedur membuang segmen tulang yang tidak normal.

"Kemudian, kita akan guna ejen sintetik tulang dekat kawasan dipotong dan harapan kita supaya dapat cantum kerana risiko tidak berjaya (cantum) itu ada.

"Pembedahan itu akan mengambil masa empat hingga lima jam dan diharap tiada komplikasi lain kerana risiko setiap pembedahan, salah satunya jangkitan kuman cuma rendah.

"Selepas pembedahan, Firas perlu menjalani pemeriksaan susulan yang mengambil masa lama dan ikutkan, dia perlu dipantau sehingga umur 18 tahun," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP (Maybank - 5141-0532-3170 dan Bank Muamalat - 1401-0008-8427-18).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 4:56 PM