Hidayatidayu

Kota Bharu: Kerajaan mengenal pasti kos keseluruhan berjumlah RM411 juta untuk pembinaan Kompleks Sukan di Bukit Merbau, Pasir Puteh bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, kerajaan pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM276 juta untuk kompleks sukan dan infrastruktur.

Katanya, kerajaan negeri pula memperuntukkan RM135 juta untuk tujuan pengambilan tanah dan membina jalan masuk ke kompleks sukan.

"Peruntukan kerajaan pusat adalah untuk pembinaan kemudahan di kompleks sukan yang dijangka bermula tahun hadapan yang dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun dan jangkaan siap pada 2025.

"Namun, pada masa ini sudah ada perancangan mantap termasuk proses reka bentuk dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas taklimat status projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Bilik Gerakan Mabna di Komples Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Noor.

Mustapa berkata, pembinaan kompleks sukan itu adalah perkongsian strategik antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberikan komitmen untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah yang membabitkan perbicaraan dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 5:13 PM