YAMANI (tengah) dan Mohd Nizom (empat kiri) bersama anak yatim daripada Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah. FOTO Facebook LHDN
YAMANI (tengah) dan Mohd Nizom (empat kiri) bersama anak yatim daripada Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah. FOTO Facebook LHDN
Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Sebanyak 10 rumah kebajikan dan pusat jagaan menerima sumbangan RM5,000 setiap satu daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam Majlis Berbuka Puasa di Cyberjaya, semalam.

LHDN turut memberi sumbangan duit raya kepada 45 anak yatim dan asnaf dalam majlis bersama dengan Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

Yamani dalam ucapannya memuji usaha murni LHDN dalam meraikan golongan yang memerlukan kepada penerima sumbangan khususnya anak-anak yatim dan asnaf yang merupakan sebahagian daripada generasi bakal mewarisi legasi negara.

"Semoga bantuan ini akan meringkan beban mereka dalam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang," katanya dalam majlis tersebut.

Rumah kebajikan dan pusat jagaan yang diraikan termasuk Rumah Anak Yatim Sg Kantan, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Rumah Bakti Al-Kausar, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim UMMI Selangor, Pusat Jagaan Mesra Assalam, Rumah Amal Limpahan Kasih, Pertubuhan Pengurusan Rumah Safiyyah, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah dan Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, pihaknya akan terus berusaha meningkatkan peranan sebagai pentadbir cukai di negara ini.

"Aktiviti teras pentadbiran cukai seperti penaksiran, pemungutan, audit, siasatan, pengesanan, pendidikan cukai dan khidmat pelanggan tetap diberikan keutamaan sepanjang bulan Ramadan ini.

"Ini untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan menjamin kemapanan kutipan hasil negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 11:45 AM