Wan Rohimi menyerahkan replika kunci van menerusi Program Mobiliti TH. Foto Ihsan TH
Wan Rohimi menyerahkan replika kunci van menerusi Program Mobiliti TH. Foto Ihsan TH
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Selepas hampir 20 tahun memohon sumbangan kenderaan bagi kegunaan harian, Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi (PPPASN) di Sandakan, Sabah tidak perlu lagi bersusah payah meminta pertolongan pengangkutan apabila Lembaga Tabung Haji (TH) tampil menyumbang sebuah van menerusi Program Mobiliti TH.

Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Wan Rohimi Wan Daud hadir menyerahkan replika kunci van itu kepada Penyelaras PPPASN Siti Musa.

Dengan sumbangan van itu, penghuni Pusat Jagaan PPPASN akan lebih mudah untuk bergerak dan menguruskan hal berkaitan proses pembelajaran serta perubatan anak asnaf berusia empat sehingga 16 tahun.

Faktor jarak pusat jagaan yang jauh untuk ke bandar Sandakan sehingga 13 kilometer juga menjadi kekangan kepada mereka sebelum ini kerana terpaksa menyewa kenderaan luar dengan caj yang mahal atau melalui sumbangan individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersimpati dengan nasib penghuni pusat jagaan ini.

Wan Rohimi berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat prihatin dengan apa yang dialami segenap rakyat, khususnya asnaf yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

"Justeru, antara usaha TH menyumbang kepada golongan bersasar yang terjejas menerusi Program Mobiliti ini perlu dilihat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia.

"Konsep ini menekankan pemeliharaan kesejahteraan negara dan rakyat, mencakupi nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan, lebih-lebih lagi dalam situasi sukar di mana negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik Covid-19," katanya.

Melalui Program Mobiliti 2021, TH akan menyumbang 25 van penumpang ke rumah kebajikan terpilih di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

"TH turut memperuntukan RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A'fiat.

"Program Mobiliti TH dilancarkan pada 2016 yang bertujuan menyumbang van dwi-fungsi yang boleh digunakan masyarakat setempat sebagai van penumpang atau van jenazah.

"Sejak diperkenalkan, TH menyumbang lebih 56 kenderaan pelbagai fungsi kepada masjid terpilih di seluruh negara yang memberi manfaat lebih 200,000 kariah," katanya.

Menurutnya, TH memperluaskan penerima sumbangan ke rumah dan persatuan kebajikan di seluruh negara pada tahun ini seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah untuk orang kurang upaya (OKU) bagi membantu memudahkan mereka bergerak untuk menjalankan aktiviti dan program mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 7:02 PM