JOZAIMAH (belakang, tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan Affin Bank kepada Aqilah (dua dari kanan) melalui program #HMKotakRezeki2018 di Subang, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.
JOZAIMAH (belakang, tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan Affin Bank kepada Aqilah (dua dari kanan) melalui program #HMKotakRezeki2018 di Subang, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.
Ayusliza Azizan


DUA rumah kebajikan di Subang menerima sumbangan zakat perniagaan daripada Affin Islamic Bank Berhad melalui program #HMKotakRezeki2018, hari ini.

Rumah kebajikan berkenaan iaitu Rumah Nur Sakinah dan Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari masing-masing menerima sumbangan RM3,500.

Sumbangan zakat perniagaan itu bertujuan memudahkan pengurusan seharian rumah kebajikan berkenaan.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategik Affin Islamic, Jozaimah Johan Ali berkata, pemberian sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada perolehan pendapatan tahunan tahun lalu.

“Ia (sumbangan zakat) salah satu program tanggungjawab sosial (CSR) tahunan Affin Islamic dan tahun ini, 72 rumah kebajikan serta maahad tahfiz dikenalpasti melalui program #HMKotakRezeki2018.

“Sebanyak RM288,000 peruntukan disalurkan melalui program #HMKotakRezeki2018 dan ia adalah sebahagian daripada RM3 juta jumlah zakat perniagaan dibayar bagi 2017,” katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan wang sumbangan kepada dua rumah kebajikan itu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pembangunan Produk Affin Islamic Zurina Ayu Samsudin dan Ketua Biro NSTP Selangor, Rafidah Mat Ruzki.

Sementara itu, wakil Rumah Nur Sakinah, Aqilah Abu Bakar, 28, berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada Affin Islamic serta akhbar Harian Metro (HM) yang prihatin dengan rumah kebajikan itu.

“Melalui sumbangan ini, kami dapat gunakan untuk menampung bayaran sewa serta kos penyelenggaraan rumah ini.

“Sumbangan ini dapat membantu menyelesaikan masalah bayaran bulanan ditanggung rumah kebajikan ini yang memiliki 35 anak yatim dan asnaf berusia dari empat hingga enam tahun,” katanya.

Dalam pada itu, penjaga Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Siti Hajar Nik Hishamuddin, 27, berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada Affin Islamic serta HM yang memberikan sumbangan kepada anak yatim serta asnaf di pusat jagaan itu.

Katanya, sumbangan itu dapat menampung perbelanjaan harian 70 anak yatim dan asnaf berusia dari satu hingga 16 tahun.

Kedua-dua rumah kebajikan itu antara penerima #HMKotakRezeki2018 yang dilaksanakan Ramadan lalu.

Selain wang tunai RM3,500, rumah kebajikan yang menjadi penerima sebelum ini menerima 10 kotak rezeki besar (Kotak Keluarga) serta 10 kampit beras.

Kotak keluarga mengandungi beras, tepung gandum, gula, Milo, bihun, kordial, teh, susu pekat, biskut, majerin, minyak masak, sardin, sos cili, sos tiram, pasta dan air mineral.

Selain penyumbang utama AffinBank Group dan rakan kurier, Pos Laju, penerima #HMKotakRezeki2018 menikmati sumbangan daripada Watsons Malaysia, Nabati Food Malaysia Sdn Bhd, Massimo by The Italian Baker, Kimball, Central Sugar Refinery (CSR) dan QNet International.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 10:27 PM