DATUK Rohaimi Md Isa. FOTO Arkib BERNAMA
DATUK Rohaimi Md Isa. FOTO Arkib BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menyita tujuh lot tanah di beberapa lokasi di negeri ini termasuk yang menempatkan 10 chalet bernilai RM4.3 juta, disyaki diperoleh daripada pendapatan kegiatan mengedar dadah.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata kejayaan itu susulan penangkapan dua suspek pengedar membabitkan rampasan dadah disyaki jenis ganja seberat 541.18 gram dan syabu seberat 46.7 gram pada 9 Dis 2020.

"Satu siasatan kewangan telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek oleh Bahagian Perlucuthakan Harta Jabatan Siasatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, yang pada permulaan kes ini tiada sitaan dibuat.

"Siasatan lanjut melalui penjejakan harta (asset tracing) melalui bank dan institusi kewangan telah berjaya menemukan pemilikan tujuh harta tak alih oleh suspek yang diperoleh secara pembelian yang meragukan," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Katanya salah satu lot tanah yang disita ialah di Batu Rakit di Kuala Nerus dengan keluasan 9,105 meter persegi termasuk 10 chalet yang dibina di atas tanah berkenaan dengan anggaran nilai RM900,000.

Rohaimi berkata turut disita, beberapa lot tanah termasuk di Kemaman, Dungun dan Marang.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan harta berkenaan adalah yang terbesar membabitkan pengedar dadah di negeri itu.

"Polis Kontinjen Terengganu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan meneruskan penyiasatan 'asset tracing' ke atas semua sekutu pengedar dadah dan memastikan kesemua aset-aset ini dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 11:17 AM