ANTARA suspek yang terbabit dalam kes dadah. FOTO ihsan Polis
ANTARA suspek yang terbabit dalam kes dadah. FOTO ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menahan 72 penagih dan pengedar dadah dalam operasi bersepadu sempena Jihad Perangi Dadah selama tiga hari di sekitar daerah ini yang berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, 17 daripada mereka dikenal pasti sebagai pengedar dan bakal dibicarakan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Jumlah keseluruhan yang ditangkap berkaitan dadah dalam operasi selama tiga hari adalah seramai 72 orang berusia antara 19 dan 50 tahun dengan lima daripadanya adalah perempuan.

"Polis percaya 17 daripada suspek terbabit aktif dalam kegiatan pengedaran dadah dan mereka ditahan bawah Seksyen 39B ADB 1952, diikuti bakinya membabitkan lain-lain kesalahan memiliki dadah," katanya di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dadah heroin seberat 1.3 kilogram, syabu (116 gram), ketamin (50 gram), pil ecstasy (75 biji), selain sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM10,655.

"Wang tunai yang dipercayai hasil jualan dadah dan kereta terbabit sudah disita daripada suspek untuk disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Semua suspek kini ditahan reman seminggu di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 8:36 PM