FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Panjat siling dan menyusup keluar melalui lubang pagar sudah dipotong di tepi blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu di sini.

Itu taktik digunakan tujuh banduan ketika melarikan diri beramai-ramai dari Penjara Jelebu kira-kira jam 6 pagi semalam.

Kejadian bagaimanapun hanya disedari petugas penjara kira - kira jam 12 tengah hari hari sama.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, kesemua banduan terbabit dipercayai bukan dari kumpulan sama berikutan mereka berpecah melarikan diri selepas berjaya lolos dari penjara berkenaan.

Katanya, banduan pertama dikenali Sohaimi Khalid, 50, berjaya ditangkap pada jam 7 petang semalam di Kongkoi, di sini, iaitu kira - kira 2 Kilometer dari Penjara Jelebu.

"Pagi tadi, seorang lagi banduan dikenali Mohd Zairizan Zainal, 42, berjaya ditangkap penduduk Kampung Petaseh Tengah di sini, selepas memecah masuk sebuah rumah penduduk dan mengambil kunci kereta.

"Namun banduan terbabit tidak sempat melarikan kereta Proton Waja milik penduduk terbabit sebelum ditahan jam 5.15 pagi tadi.

"Banduan yang berjaya ditangkap semula ini sedang dalam proses perbicaraan Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kes dilakukannya pada Januari 2021 di Seremban," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu di sini, tadi.

Maslan berkata, polis masih menjalankan siasatan terperinci daripada pelbagai sudut sama ada terdapat unsur kecuaian atau sebaliknya.

Katanya, polis turut mengadakan empat sekatan jalan raya ( SJR ) di daerah ini dan tiga SJR di sempadan daerah iaitu di Nilai, Kuala Pilah dan Jempol.

"Gerakan memburu lima lagi banduan yang masih bebas sedang dilakukan. Semua mereka sedang dalam proses perbicaraan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan lain, Maslan berkata banduan yang masih bebas dipercayai sudah menukar pakaian sebaik berjaya bolos.

"Gerakan memburu banduan terbabit kini tertumpu di kawasan Mukim Pertang dan kawasan sekitarnya.

"Kami percaya keadaan fizikal mereka ketika ini sudah lemah dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi IPD Jelebu di talian 06-6136222 atau pegawai penyiasat Inspektor Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096996," katanaya.

Menurutnya, lima banduan yang masih bebas adalah Zainuddin, warga negara asing; Shazuan Md Sharif, 32; Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Mazlan Samah, 39 dan Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 5:55 PM