BANDUAN yang melarikan diri dari Penjara Jelebu. FOTO Ihsan Polis
BANDUAN yang melarikan diri dari Penjara Jelebu. FOTO Ihsan Polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Tujuh banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu di sini, melarikan diri, 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, pihaknya dibantu Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu sudah menggerakkan operasi memburu banduan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga 7 malam tadi, seorang banduan, Sohaimi Khalid, 50, berjaya ditangkap semula di sebuah kebun sawit di Kongkoi, kira-kira dua kilometer dari Penjara Jelebu.

Katanya, enam lagi banduan yang dalam buruan ialah Mazlan Samah, 39, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28, Shazuan Md Sharif, 32, Mohd Zairizan Zainal, 42, Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dan seorang warga asing, Zainuddin.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

"Polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam bagi membantu polis mengesan kesemua banduan berkenaan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu di talian 06-6136222 atau bilik gerakan IPD Jelebu 06-6137999.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 9:02 PM