Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Seramai 27 penunggang motosikal perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di 12 kawasan di sekitar Selangor, hari ini.

Dalam Op Merah bermula pada 9 pagi itu, JPJ memeriksa 81 penunggang p-hailing selepas menerima aduan awam terhadap pelbagai salah laku pemanduan oleh penunggang motosikal berkenaan.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, pelbagai kesalahan trafik dikesan penunggang motosikal p-hailing antaranya gagal mematuhi isyarat lampu merah.

"Selain itu, mereka dikesan gagal mematuhi isyarat lalu lintas jalan sehala dan kesalahan berkaitan pemakaian topi keledar.

"Notis saman dikeluarkan kepada mereka yang menyalahi peraturan ditetapkan," katanya pada sidang media selepas tamat operasi di Lebuhraya Persekutuan, hari ini.

Nazli berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, berlaku peningkatan kemalangan membabitkan penunggang p-haling.

Beliau berkata, bagi Selangor, seramai 11 penunggang p-hailing meninggal dunia akibat kemalangan.

"Sehingga Ogos, sebanyak 88 kemalangan dilaporkan membabitkan penunggang p-hailing, angka ini sangat merisaukan disebabkan itu operasi dan program advokasi dijalankan.

"Op Merah akan berakhir pada 7 November ini dan kami akan terus melaksanakan penguatkuasaan dan advokasi kepada penunggang p-hailing.

"Program ini akan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah serta kepentingan menjaga kenderaan dengan betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:21 PM