Mohd Roji Kawi

Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan mengeluarkan buku panduan bagi memudahkan orang ramai menyelamatkan mangsa kemalangan sebelum kehadiran pasukan menyelamat.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, buku panduan itu akan diedarkan kepada orang ramai khususnya kalangan penunggang penghantar makanan p-hailing.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama Syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi menghasil buku panduan penyelamatan nyawa itu.

"Buku itu bukan sahaja akan menjadi panduan bagi tugas penyelamatan mangsa kemalangan jalan raya tetapi juga sebagai perintis menjadikan keselamatan sebagai budaya kalangan masyarakat.

"Kita akan bekerjasama dengan PETRONAS untuk mendapatkan peruntukan bagi menghasilkan buku panduan itu dan JBPM akan menyalurkan panduan penyelamatan yang betul serta langkah-langkah keselamatan untuk mengelak bencana yang lebih teruk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Hero Bomba Kepada Orang Awam dan Penunggang p-Hailing di Ibu Pejabat JBPM Sarawak, di sini, hari ini.

MAJLIS penyerahan Sijil Hero Bomba kepada orang awam dan Penunggang p-Hailing di Ibu Pejabat JBPM Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
MAJLIS penyerahan Sijil Hero Bomba kepada orang awam dan Penunggang p-Hailing di Ibu Pejabat JBPM Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI

Orang awam dan penunggang penghantar makanan terbabit membantu menyelamatkan mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Camar, Petra Jaya, 17 Julai lalu.

Khirudin berkata, kes berkenaan menjadi pencetus kepada pihaknya untuk menjadikan penunggang penghantar makanan sebagai rakan strategik dalam tugas penyelamatan khususnya dalam kejadian kemalangan jalan raya.

"Ini kerana ketika ini penunggang penghantar makanan p-hailing berada di mana-mana dan sentiasa ada di jalan raya.

"Mereka perlu memiliki panduan bagi membantu menyelamatkan mangsa kemalangan sementara menunggu kehadiran anggota bomba," katanya.

Seramai sembilan orang awam termasuk dua penunggang penghantar makanan menerima sijil penghargaan atas tindakan cepat mereka membantu mangsa kemalangan yang terbabas ke dalam parit di Jalan Camar, Petra Jaya, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 malam itu, kereta yang dinaiki empat sekeluarga terbabas dan terbalik di dalam parit sedalam dua meter.

Tindakan pantas 12 orang awam termasuk penunggang penghantar makanan berjaya menyelamatkan keluarga terbabit daripada lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 5:29 PM