Keadaan MPV milik IPD Tanah Merah mengalami kesan kemek. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan MPV milik IPD Tanah Merah mengalami kesan kemek. FOTO IHSAN POLIS
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Terkejut dengan kehadiran polis, dua sejoli bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan yang dinaiki sebelum merempuh beberapa kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.

Susulan itu, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke udara sebagai amaran supaya pemandu kereta Perodua Myvi menghentikan kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, kejadian berlaku pada 11 malam semalam ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) melakukan rondaan di Jalan Humaira, di sini.

Menurutnya, mereka kemudian ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah bangunan.

"Semasa ingin membuat pemeriksaan, pemandu Perodua Myvi itu cuba merempuh seorang anggota polis menyebabkan kerosakan pada pintu sebelah kiri kereta.

"Suspek kemudian memecut laju kenderaannya yang turut dinaiki teman wanitanya sehingga melanggar tiga kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Hiburan, di sini.

"Anggota meminta suspek menghentikan kenderaan menggunakan pembesar suara, namun lelaki itu sekali lagi bertindak memecut laju keretanya sehingga hilang kawalan menyebabkan satu das tembakan terpaksa dilepaskan ke udara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Zulfikri berkata, pasangan kekasih berusia 20 dan 22 tahun itu berjaya ditahan dan mereka mengaku baru mengenali sejak sebulan lalu.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kenderaan MPV kemek di bahagian pintu hadapan sebelah kiri manakala anggota pula tidak mengalami kecederaan.

"Suspek lelaki direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 April manakala teman wanitanya direman tiga hari bagi siasatan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 3:16 PM