GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Lelaki maut ditembak polis manakala rakannya dicekup di Jalan Sungai Daun, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, lelaki, 21, yang maut memandu kereta bersama rakannya, 26, di Taman Jejawi Permai dalam keadaan mencurigakan sebelum dihampiri polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, ketika Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis menghampiri dan meminta suspek mematikan enjin, mereka merempuh kenderaan polis sebelum memecut melarikan diri.

"Suspek melarikan diri menghala ke Jalan Sungai Duri sebelum URB polis mengekori mereka sehingga ke Jalan Seruling Emas.

"Sebaik tiba di lampu isyarat Petronas Sungai Bakap, sebuah kereta peronda (MPV) cuba menahan saspek namun mereka bertindak merempuh MPV di bahagian hadapan sebelah kiri," katanya.

Beliau berkata, suspek dikejar sehingga ke Jalan Sungai Daun dan mereka bertindak menghimpit MPV beberapa kali.

Shafee berkata, sebaik tiba di kawasan perkampungan di Jalan Sungai Daun, polis cuba menahan suspek tetapi mereka sekali lagi merempuh pihaknya.

Katanya, pihak URB polis yang tiba sejurus selepas itu mengarahkan suspek berhenti namun mereka memecut meluru ke arah anggotanya sehingga memaksa pihaknya melepaskan dua das tembakan ke bahagian tayar hadapan dan tayar belakang.

"Anggota URB juga terpaksa melepaskan tiga lagi das tembakan selepas suspek masih enggan memberhentikan keretanya .

"Kereta dinaiki suspek kemudian terbabas di dalam parit di bahu jalandan selepas pemeriksaan dilakukan pemandu kereta maut manakala rakannya berjaya dicekup," katanya.

Menurutnya, kedua dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 12:20 PM