Omar Ahmad

Mersing: Dua penyelam warga asing yang ditemui selamat pada kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan, Indonesia kini berada dalam keadaan stabil dan masih bersemangat.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46 dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18 itu bagaimanapun masih tidak dapat ditemubual.

"Kedua mereka stabil dan sedang dirawat di hospital. Kita tidak dapat menemubual mereka tetapi berdasarkan keadaan mereka stabil dan masih bersemangat.

"Keadaan Kristine juga berada dalam keadaan stabil tetapi beliau masih belum bersedia untuk memberi keterangan," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini hari ini.

Pagi tadi, kedua penyelam itu ditemui pada kedudukan kira-kira 70 batu nautika atau 100 kilometer daripada lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang di Pulau Tokong Sanggol, di sini pada Rabu.

Berdasarkan perkembangan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) ditamatkan kerana dipercayai mangsa terakhir, Nathen Renze Chester, 14 warga Belanda yang masih hilang, berkemungkinan besar berada tidak berada di kawasan perairan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 4:45 PM
KHAIRUL Nizam menunjukkan lokasi sebenar dua penyelam warga asing yang ditemui di 16 batu nautika utara Pulau Bintan, Indonesia. FOTO Omar Ahmad
KHAIRUL Nizam menunjukkan lokasi sebenar dua penyelam warga asing yang ditemui di 16 batu nautika utara Pulau Bintan, Indonesia. FOTO Omar Ahmad