Omar Ahmad


Mersing : Dua lagi penyelam yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, di sini, pada Rabu ditemukan selamat oleh nelayan tempatan pada jam kira-kira 1 pagi tadi.

Mereka adalah penyelam warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46, dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18.

Bagaimanapun anak kepada Adrian, Nathen Renze, 14, yang juga warga Belanda masih hilang.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kedua mangsa ditemukan di perairan selatan Pengerang berhampiran sempadan Indonesia.

"Dua mangsa berkenaan yang hanyut selamat ditemukan jam 1 pagi tadi oleh nelayan tempatan.

"Nelayan menghubungi polis, mangsa kemudian diselamatkan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor dan dihantar ke darat. Mangsa kini berada di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang untuk rawatan lanjut.

"Mereka berada dalam keadaan stabil. Seorang lagi mangsa masih belum ditemukan dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini hari ini.

Cyril Edward berkata, berdasarkan penemuan itu, kawasan pencarian diubah ke arah selatan.

ANTARA aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terbabit operasi pencarian. FOTO BERNAMA
ANTARA aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terbabit operasi pencarian. FOTO BERNAMA

"Kita juga maklumkan kepada pihak Indonesia dan Singapura berhubung penemuan dua mangsa dan makluman pengubahan kawasan pencarian," katanya.

Pada Rabu lalu, empat penyelam warga asing hilang semasa aktiviti latihan selam di Pulau Tokong Sanggol di sini.

Kelmarin, penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat di 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang oleh bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 9:58 AM