A TEEVAGAR Gabrialnayagam (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas empat pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan seorang tahanan wanita di pejabatnya, tahun lalu. FOTO Ihsan pembaca
A TEEVAGAR Gabrialnayagam (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas empat pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan seorang tahanan wanita di pejabatnya, tahun lalu. FOTO Ihsan pembaca
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan jenayah seksual terhadap seorang tahanan wanita di pejabatnya, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh A Teevagar Gabrialnayagam, 30, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 29 tahun dengan kerelaan yang diperoleh oleh tertuduh menggunakan kedudukan kuasa terhadap mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara minimum 10 hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita sama tanpa kemahuannya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk melakukan pencabulan terhadap kehormatan wanita sama.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di bilik pegawai penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, kira-kira 3 petang hingga 5.30 petang, pada 5 Jun 2021.

Dalam pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita sama tanpa kemahuannya.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama antara 2 petang hingga 4.30 petang, pada 7 Jun 2021.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tg Sharifudin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 2:56 PM