Siraj Mohd Zaini


SEORANG banduan lelaki warganegara Nepal dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan melakukan liwat serta seks oral terhadap tahanan lain di dalam sel Penjara Sungai Buloh, tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap tertuduh, Tira Ram Gmimire, 27, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang tahanan lelaki berusia 24 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Bilik 57, Blok Damai, Penjara Sungai Buloh pada 9 November 2017 pada 10 malam hingga 12 tengah malam.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii ke atas tahanan sama pada 12.05 tengah malam hingga 1 pagi pada hari dan tempat sama.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan itu yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naliatul Huzaimi Ab Rasip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh di dalam rayuannya memohon agar hukuman diringankan dikenakan terhadapnya atas alasan dia menyesali perbuatannya.

Bagaimanapun, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak mulai 10 November 2017.

Tertuduh sebelum ini dipenjarakan selepas didapati bersalah dalam kes culik pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 12:23 PM
TIRA Ram Gmimire (tengah) dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap tahanan lain, tahun lalu. FOTO Faiz Anuar.
TIRA Ram Gmimire (tengah) dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap tahanan lain, tahun lalu. FOTO Faiz Anuar.