Bot (berbumbung) yang dinaiki empat penyelam sebelum aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing. FOTO IHSAN APMM
Bot (berbumbung) yang dinaiki empat penyelam sebelum aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing. FOTO IHSAN APMM
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat penyelam warga asing yang dilaporkan hilang di Pulau Tokong Sanggol, di sini ditangguhkan pada 7.30 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penangguhan itu atas faktor penglihatan terhad dan SAR akan disambung pada 7 pagi esok.

"Cuaca di laut dengan kelajuan angin 10 kilometer per jam (km/h) sehingga 20 km/h dan ketinggian ombak 0.5 meter sehingga satu meter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, operasi dikoordinasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membabitkan kekuatan 25 pegawai dan anggota serta tiga bot yang termasuk milik agensi lain iaitu Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan.

Katanya, kawasan pencarian hari pertama operasi adalah sejauh 21.45 batu nautika persegi.

Terdahulu, media melaporkan empat penyelam warga Britain, Perancis dan Norway dipercayai hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 9:15 PM