Omar Ahmad.


Mersing: Kerajaan negeri akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini empat penyelam yang hilang di Pulau Tokong Sanggol di sini, kepada pihak kedutaan berkaitan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kedutaan Britain, Belanda, Norway dan Perancis sudah dimaklumkan berhubung insiden yang menimpa rakyat mereka itu dan keluarga mangsa juga sudah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita akan memaklumkan perkembangan terkini kepada pihak kedutaan empat penyelam ini tentang status operasi pencarian yang dilaksanakan.

"Kita juga akan maklumkan kepada keluarga mereka dan tumpuan kita kini adalah usaha mencari empat penyelam ini secepat mungkin.

"Cuaca pagi agak baik, tetapi pada sebelah petang cuaca dijangka mencabar, arus kuat dan mungkin pada sebelah petang operasi akan berhenti seketika," katanya pada sidang media selepas meninjau pangkalan hadapan carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini, hari ini.

Onn Hafiz (kanan) bersama Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria (dua dari kanan), Ketua Staf Am 21 Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing, Adi Ridzwan Abdullah (tiga dari kanan) dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat  (kiri) ketika meninjau operasi mencari empat penyelam warga asing hilang di Pulau Tokong Sanggol,  Mersing. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Onn Hafiz (kanan) bersama Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria (dua dari kanan), Ketua Staf Am 21 Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing, Adi Ridzwan Abdullah (tiga dari kanan) dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kiri) ketika meninjau operasi mencari empat penyelam warga asing hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Menurut Onn Hafiz, pihaknya juga meminta Pejabat Daerah Mersing supaya melihat semula Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung aktiviti pelancongan berdasarkan keadaan cuaca pada ketika ini.

"Pejabat daerah Mersing akan melihat dan memperhalusi SOP serta langkah-langkah keselamatan yang akan dibuat dan persiapan supaya perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

Semalam dilaporkan empat penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing.

Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat tersebut melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 2.35 petang tadi berhubung kejadian itu.

Identiti empat penyelam warga asing dikenalpasti sebagai Adrian Peter, 46 warga Britain dan anaknya Nathan Renze, 14, warga Belanda.

Serta seorang wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18 dan wanita yang juga jurulatih penyelam 'Dive Master' dari Norway, Kristine Grodem, 35.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 12:31 PM