Omar Ahmad.


Mersing: Penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dan dibawa menaiki helikopter ke Mini Stadium Mersing, jam 12.05 tengah hari tadi.

Kristine adalah jurulatih selam kepada lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46 dan anaknya Nathan Renze, 14, warga Belanda, serta seorang wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18 yang masih hilang semasa aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, jurulatih selam itu ditemukan di 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang kira-kira jam 8.15 pagi.

Katanya, mangsa ditemukan dan diselamatkan sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

"Mangsa hanyut ke selatan dan ditemukan di sekitar perairan Tanjung Sedili. Mangsa dalam keadaan stabil dan tiada kecederaan serius. Mangsa kini berada di Hospital Mersing untuk pemeriksaan kesihatan.

Nurul Hizam (tengah) ketika sidang media perkembangan kes empat penyelam warga asing hilang. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Nurul Hizam (tengah) ketika sidang media perkembangan kes empat penyelam warga asing hilang. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Ketika ditemukan Kristine terapung dengan berkelengkapan alat menyelam. Jurulatih itu memaklumkan kali terakhir melihat tiga lagi mangsa yang masih hilang pada 12.45 tengah hari pada permukaan laut dan berhubung menerusi jeritan. Namun selepas itu hilang dari pandangan dibawa arus yang kuat," katanya pada sidang media di Pengkalan hadapan carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.

Menurut Nurul Hizam, jurulatih terbabit juga memaklumkan biasa dengan lokasi selaman tersebut.

Katanya, usaha mencari baki tiga lagi mangsa lagi mangsa masih diteruskan.

"Kita ubah lokasi pencarian ke sebelah selatan dengan menggunakan aset yang ada iaitu keluasan 100 batu nautika aset di permukaan laut manakala udara dengan keluasan 270 batu nautika.

"Kita juga sudah maklumkan kepada pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dan Singapura.

Jabatan Laut juga telah mengeluarkan notis pemakluman kepada kapal-kapal yang berlayar sekitar lokasi terbabit untuk membantu sekiranya terjumpa mangsa," katanya.

Semalam dilaporkan empat penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 1:49 PM