Zul Fakri Amin sedang menyusun ayam segar yang dijual pada harga RM10.50 sekilogram di Pasar Cabang Tiga, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Zul Fakri Amin sedang menyusun ayam segar yang dijual pada harga RM10.50 sekilogram di Pasar Cabang Tiga, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Harga ayam meningkat sebanyak RM1.60 sekilogram sekali gus melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram.

Tinjauan di Pasar Cabang Tiga, di sini, mendapati harga ayam segar dijual pada harga RM10.50 sekilogram.

Sebelum ini, ayam segar dijual pada harga RM9.50 pada minggu lalu dan mula meningkat kepada RM10.50 sekilogram sejak Ahad lalu.

Peniaga, Zul Fakri Amin Abdul Manan, 35, berkata peningkatan harga ayam segar berlaku didorong oleh faktor kos operasi dan pengangkutan yang melambung di peringkat pemborong.

"Kami mendapatkan bekalan ayam segar daripada pemborong pada harga RM8.90 dan terpaksa menaikkan harga jualan secara runcit daripada RM9.50 pada minggu lalu dan RM10 pada hari pertama Ramadan.

"Pada hari pertama Ramadan (Ahad lalu), harga runcit ayam segar dijual pada harga RM10 sekilogram, tetapi meningkat kepada RM10.50 sekilogram hari ini," katanya.

Katanya, orang ramai merungut berikutan kenaikan harga ayam segar di pasaran, tetapi peniaga tiada pilihan melainkan terpaksa menaikkan harga jualan.

"Kerajaan perlu bertindak segera untuk mengawal kenaikan harga ayam kerana jika tidak dikawal, ianya akan menimbulkan kemarahan orang ramai terutama menjelang Aidilfitri," katanya.

Peniaga lain Ahmad Azfar Azhari, 33, berkata harga ayam segar dijangka akan terus meningkat menjelang Aidilfiri seperti dialami beberapa tahun lalu.

Katanya, mereka tidak menolak kemungkinan harga ayam akan terus meningkat ke paras RM12 sekilogram seperti ketika Tahun Baru Cina, Februari lalu.

"Kenaikan harga ayam sehingga mencecah ke paras RM12 sekilogram dijangka akan berulang jika kawalan tidak dilakukan di peringkat ladang dan pemborong.

"Kami peniaga runcit ayam akan menurunkan harga siling seperti ditetapkan kerajaan jika tiada kenaikan di peringkat pemborong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 2:15 PM