Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Harga ayam meningkat mencecah RM10 sekilogram sekali gus melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM8.90 satu kilogram (kg).

Tinjauan Harian Metro ke beberapa pasar basah, di sini, mendapati kebanyakan ayam segar dijual pada harga antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram.

Selain itu, tinjauan mendapati harga sayur-sayuran turut mengalami peningkatan antaranya timun batang dan cili api.

Peniaga, Zulwati Abdullah, 40, mendakwa peniaga tidak dapat menjual ayam segar pada harga siling yang ditetapkan kerana menerimanya pada harga RM8.90 sekilogram daripada pemborong.

"Jika dijual juga pada nilai (RM8.90) terbabit, mana keuntungan buat kami sebagai peniaga ayam? Pemborong menggunakan alasan stok ayam berkurangan selain harga makanan ayam semakin meningkat.

Salah seorang peniaga ayam sedang menyusun ayam segar yang dijual sepanjang bulan ramadan ketika tinjauan di Pasar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Salah seorang peniaga ayam sedang menyusun ayam segar yang dijual sepanjang bulan ramadan ketika tinjauan di Pasar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Peniaga ayam memperoleh keuntungan hanya 50 sen hingga RM1 sahaja, ia tidak termasuk dengan kos ais untuk memastikan kesegaran ayam, plastik serta air yang digunakan untuk membasuh bekalan.

"Saya dapat mengagak bahawa kenaikan harga akan berlaku sepanjang Ramadan, malah kemungkinan besar ia semakin meningkat apabila tiba Hari Raya," katanya yang sudah 15 tahun menjadi peniaga ayam segar.

Katanya, pelanggan merungut apabila harga ayam naik, namun mereka bagaikan sudah biasa dengan keadaan berkenaan dan tetap membelinya.

Sementara itu, pembeli, Suhaida Ismail, 38, mendakwa harga timun batang meningkat kepada RM25 sekilogram berbanding hanya RM18 sebelum ini selain cili api kepada RM20 sekilogram berbanding RM12.

"Saya berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia bukan sahaja membebankan masyarakat, tetapi juga pengusaha makanan dan kedai makan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 2:23 PM