Foto hiasan
Foto hiasan
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Keselamatan pelancong asing yang didakwa boleh tergugat sekiranya ke bandar raya ini apabila sempadan antarabangsa dibuka pada 1 April ini adalah dakwaan tidak berasas dan bertujuan menimbulkan kebimbangan ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya K Raven Kumar berkata, pelbagai persiapan sudah dilakukan bagi memastikan kelancaran proses pembukaan sempadan termasuk soal keselamatan ramai.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklum oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi pengetahuan ramai.

Katanya, persiapan dilakukan termasuk merangkumi semua aspek bagi memastikan kemasukan pelancong ke negeri mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Ia termasuk berapa bilangan anggota polis yang akan ditugaskan di lokasi tumpuan ramai di sekitar bandar raya ini," katanya.

Raven berkata, selain agensi keselamatan, sektor pelancongan di bandar raya ini juga sudah membuat persiapan bagi menyambut pelancong.

"Sektor pelancongan juga memastikan keselesaan pengunjung termasuk pelancong dari Singapura sepanjang berada di sini," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas berkaitan dakwaan yang tular di Facebook kononnya rakyat Johor yang bekerja di Singapura menasihati penduduk republik berkenaan tidak melancong ke bandar raya ini selepas pembukaan sempadan antarabangsa.

Turut didakwa bahawa ramai penduduk di sini tidak bekerja dan mensasarkan ketibaan pelancong Singapura bagi melakukan rompakan dan ragut.

Dakwaan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen termasuk menyinggung perasaan rakyat Johor.

Terdahulu, polis Johor menjelaskan bakal memberi tumpuan di 41 kawasan hotspot seluruh negeri termasuk 10 kawasan di Johor Bahru Selatan dan tiga di Johor Bahru Utara yang dijangka menjadi tumpuan ramai mulai awal bulan depan.

Seramai 1,600 pegawai dan anggota akan bertugas pada minggu pertama pembukaan sempadan terutama di kawasan tumpuan serta lokasi strategik seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 9:35 PM