K Raven Kumar
K Raven Kumar
BERNAMA

Iskandar Puteri: Projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Sungai Batu Pahat yang dijangka bermula tahun hadapan mampu menyelamatkan lebih 35,000 penduduk lembangan sungai yang terdedah kepada risiko banjir akibat limpahan air parit utama dan sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor K Raven Kumar berkata, projek penyelesaian jangka panjang bernilai RM190 juta dan akan siap pada 2026 itu membabitkan kerja pembinaan benteng dan penggalian sungai.

"RTB ini bertujuan membaik pulih tebing sungai yang rosak, menaik taraf benteng sungai supaya air dari parit utama sepanjang sungai tersebut tidak melimpah dan mengurangkan kejadian banjir kilat ketika air pasang yang bertembung dengan kejadian hujan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) yang ingin tahu status pembinaan benteng untuk RBT di Sungai Batu Pahat yang telah bermula dari pintu air Kampung Parit Lapis di Batu Pahat.

Raven Kumar berkata, bagi penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan risiko banjir, usaha pemuliharaan sungai terus dilakukan di Taman Batu Pahat, Jalan Pantai, Jalan Masjid, Parit Johar, Parit Sri Molek dan Kampung Muhibbah melibatkan peruntukan RM1.07 juta.

Ketika menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) yang ingin tahu perancangan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Johor, Raven Kumar berkata, kerajaan merancang membina 'Mangrove Discovery Centre' di Tanjung Piai dan sebuah 'Mangrove Research Centre' di Pulau Kukup dekat Pontian.

Beliau berkata, kedua-dua pusat berkenaan akan dilengkapi kemudahan awam seperti tandas, gerai cenderahati, kafeteria, surau, hotel dan ruang rehat sekali gus menggalakkan lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke lokasi tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 2:03 PM