PENGARAH syarikat direman empat hari bermula hari ini. FOTO Ihsan SPRM.
PENGARAH syarikat direman empat hari bermula hari ini. FOTO Ihsan SPRM.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman pengarah syarikat selama empat hari bermula hari ini kerana disyaki memberi rasuah dalam bentuk wang perbelanjaan dan tiket penerbangan ke luar negara.

Difahamkan, rasuah bernilai lebih RM40,000 itu diberikan kepada beberapa pegawai sebuah agensi keselamatan berkaitan teknologi.

Sumber berkata, suapan diberikan pengarah syarikat berumur lewat 40-an dipercayai sebagai balasan untuk membantu mendapatkan kontrak kerja buat syarikatnya.

Katanya, pengarah itu didakwa dianugerah projek berkaitan teknologi berjumlah kira-kira RM2 juta.

"Beberapa pegawai agensi itu juga disyaki bersubahat dengan suspek dalam mengagihkan kontrak-kontrak berkenaan kepada beberapa syarikat antara tahun 2015 hingga 2020," kata sumber.

Suspek ditahan kira-kira 10 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Terdahulu, perintah tahanan reman hingga 3 Februari dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas menerima permohonan SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 5:47 PM