Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Tanaman jagung berskala besar menjadi antara fokus Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengelakkan kebergantungan import.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jagung juga adalah komponen penting dalam industri ternakan sebagai bahan makanan.

Katanya, negara mempunyai kapasiti luas untuk mengeluarkan jagung tetapi perhatian terhadapnya terlalu kurang diberikan.

"Ketika ini kebergantungan import bahan itu sangat besar dan pendekatan terhadap tanaman jagung mempunyai kapasiti untuk dilaksanakan secara domestik.

"Sebab itu kita perlu ada olahan dasar dan apabila bercakap mengenainya, insentif dan juga galakan perlu dibuat kerajaan bagi membangunkan penanaman jagung secara besar-besaran.

"Kita tak boleh biarkan konflik yang berlaku di luar negara mengganggu (bekalan). Selain itu pandemik Covid-19 mengajar kita untuk bersiap diri mencukupkan bekalan (makanan) dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan majlis Jubli Emas 50 Tahun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di ibu pejabat pertubuhan itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Mafi I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Mafi II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob.

Ronald berkata, kerajaan kini memberi lebih perhatian supaya pihak swasta terbabit sama dalam merancakkan penanaman konsep baharu atau pendekatan baharu dalam mengeluarkan jagung tempatan.

"Kita sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak swasta yang mahu terbabit dalam industri ini. Ketika ini sambutan terhadapnya amat positif," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ronald memberitahu hadirin bahawa jualan tanaman bagi satu tan jagung adalah sebanyak RM1,900.

Selain itu, katanya, beberapa langkah intervensi jangka pendek diambil bagi memastikan bekalan ayam mencukupi seperti subsidi diberikan kerajaan kepada penternak dan pengeluar telur untuk memastikan bekalan stabil.

Menurutnya, kerajaan mengambil serius dan memerhati secara dekat bukan sahaja kepada bekalan daging, ayam dan telur tetapi semua bahan makanan untuk kegunaan rakyat Malaysia.

"Kerajaan mengambil serius perkara berkenaan sekuriti makanan negara dan memastikan bahawa bekalan makanan adalah mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 2:13 PM