Dr Ronald (tiga dari kiri) mencuba drone untuk menyembur racun selepas merasmikan Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis di Tanah Rendah di Mardi Kundang. FOTO FATHIL ASRI
Dr Ronald (tiga dari kiri) mencuba drone untuk menyembur racun selepas merasmikan Pakej Mekanisasi Tanaman Kubis di Tanah Rendah di Mardi Kundang. FOTO FATHIL ASRI
Ilah Hafiz Aziz


Rawang: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) sedang berbincang dengan pelbagai pihak khususnya sektor swasta untuk membangunkan ladang jagung secara besar-besaran bagi meningkatkan sumber makanan negara khususnya bahan mentah untuk memproses makanan ayam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementerian juga akan menggubal dasar baharu berkaitan penanaman jagung yang sebelum ini tidak diberi perhatian kepada kerajaan.

Kata beliau, dasar baharu itu juga akan memberi manfaat kepada negara untuk mengurangkan kebergantungan makanan import.

"Kita sedar mengenai kebergantungan negara terhadap import sumber makanan dan kajian sumber alternatif perlu digunakan khususnya dalam menangani kenaikan harga jagung.

"Ini juga adalah pendekatan baharu Mafi untuk menggalakkan penanaman jagung secara besar-besaran dan dasar makanan baharu ini sedang diteliti secara mendalam, termasuk mengkaji dasar sedia ada.

"Kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi lain sebagai usaha mengurangkan kebergantungan bahan ternakan import. Antaranya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan pihak-pihak swasta lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis pelancaran Pakej Mekanisme Tanaman Kubis Tanah Rendah di Kundang di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, penanaman jagung di Malaysia tidak diberi tumpuan oleh kerajaan seperti penanaman padi yang mencapai pengeluaran beras sehingga 70 peratus.

Justeru, beliau berkata, sudah sampai masanya untuk Mafi menjayakan dasar baharu dalam penanaman jagung untuk diketengahkan secara besar-besaran.

"Dasar ini tidak akan menggubah landskap pertanian negara termasuk menggantikan dasar penanaman padi.

"Sebaliknya, ia adalah satu dasar baharu untuk menggalakkan penanaman jagung secara besar-besaran dan kita sudah berbincang dengan pihak swasta yang berminat ke arah itu," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, Mafi tidak menetapkan lagi tempoh masa pelaksanaan dasar penanaman jagung kerana ia masih di peringkat perbincangan kementerian.

Mengenai program penanaman kubis tanah rata, beliau memuji usaha Mardi yang memperkenalkan pelbagai teknologi baharu untuk menambah pengeluaran tanaman itu serta memudahkan utusan petani.

"Dimaklumkan, teknologi ini mampu menjimatkan kos disebabkan pengurangan tenaga buruh serta menambah pengeluaran sehingga 4,000 kilogram per hektar.

"Ia bertepatan dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang memperlihatkan teknologi moden dan terkini dalam rantaian makanan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 2:15 PM