Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan menyambut baik inisiatif Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Anggota Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk terbabit secara signifikan dalam industri ternakan ayam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam.

"Pagi ini, saya bertemu dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Angkasa bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.

"Nafas dan Angkasa akan terbabit dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Nafas menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor setahun.

"Nafas dan Angkasa akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam," katanya.

Menurutnya, bagi tujuan itu, Nafas mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

"Angkasa juga mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

"Setiap hektar mampu mengeluarkan 5 tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini," katanya.

Beliau berkata, usaha Nafas dan Angkasa yang berskala besar ini diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam.

"Saya yakin Nafas dan Angkasa berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan. Ini kerana Nafas mempunyai seramai 1 juta ahli manakala 7 juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi," katanya.

Menurutnya, Angkasa juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 5:21 PM