Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (belakang, tengah) bersama penerima sumbangan pada Program Agihan Perdana Ramadan dan Syawal Tahun 1443H/2022M anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, hari ini. FOTO BERNAMA
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (belakang, tengah) bersama penerima sumbangan pada Program Agihan Perdana Ramadan dan Syawal Tahun 1443H/2022M anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sejumlah RM28.6 juta zakat mula diagihkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 62,769 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri bagi membantu golongan itu membuat persiapan awal bagi Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata setiap penerima bantuan berkenaan akan menerima antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga.

"Bantuan tersebut disalurkan bermula hari ini melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima, menggunakan kaedah baucar tunai dan serahan tunai di cawangn LZS di seluruh negeri," katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Perdana Bantuan Ramadan dan Syawal bagi tahun 2022 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daerah Klang dan Petaling mencatatkan jumlah agihan tertinggi membabitkan peruntukan berjumlah RM5.189 juta dan RM5.186 juta kepada 11,232 serta 11,186 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Katanya, Kuala Selangor agih bantuan berjumlah RM3.029 juta kepada 6,836 asnaf; Hulu Langat sebanyak RM4.12 juta (8,832 asnaf).

"Kuala Langat pula membabitkan 5,044 asnaf dengan agihan zakat sebanyak RM2.322 juta; Sabak Bernam sebanyak RM2.033 juta (4,832 asnaf) dan Sepang sebanyak RM1.283 juta (2,773 asnaf)," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin turut menggalakkan pengeluar zakat untuk terus menggunakan kaedah pembayaran zakat secara dalam talian.

Katanya, beliau yakin kaedah tersebut akan terus digemari oleh pembayar zakat berdasarkan trend peningkatan penggunaannya sejak dua tahun lalu ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

"Kaedah berkenaan dapat mengurangkan risiko terdedah kepada wabak selain lebih mudah digunakan.

"Daripada pengalaman kami sejak bermulanya pandemik dua tahun lalu, ramai pengeluar zakat lebih gemar menggunakan kaedah dalam talian ini.

"Saya rasa berdasarkan trend pada sebelum ini, dan saya percaya kaedah pembayaran secara dalam talian ini masih digemari oleh semua pengeluar zakat termasuk golongan muda dan lebih berusia menggunakan cara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 7:11 PM